Tuesday, October 23, 2012

Berjalan 5,700km untuk tunai haji

MAKKAH: Seorang lelaki Bosnia yang meninggalkan negara itu Disember lalu untuk mengerjakan haji dengan berjalan kaki, tiba di Tanah Suci selepas melalui beberapa negara, termasuk Syria, semalam.
Menurut Senad Hadzic, walaupun hanya berjalan dan menempuh pelbagai rintangan, dia tidak berasa penat.
“Ini adalah hari terbaik saya,” katanya.
Menurut Senad, 47, sebelum tiba di Makkah, dia berjalan sejauh 5,700 kilometer selama 314 hari melalui Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram. Sebelum ini, Senad mencatatkan perjalanannya di Facebook dan turut memuat naik gambarnya bersama kad warga asing dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Syria. Kata Senad, dia merentasi Syria pada April dengan berjalan kira-kira 500 kilometer dalam 11 hari.
“Saya melalui Aleppo dan Damsyik serta berpuluh-puluh pusat kawalan dikuasai tentera kerajaan dan pejuang pembangkang.
“Namun, saya tak pernah ditahan,” katanya. Menurut Senad, dia berjalan demi Tuhan, Islam, Bosnia-Herzegovina, ibu bapa dan adik-beradiknya.

Di Facebook, dia berkata, Tuhan memberinya jalan melalui mimpi dengan mengilhamkan supaya memilih laluan Syria berbanding Iraq. Sepanjang perjalanan itu, Senad melalui kawasan yang bersuhu 35 darjah Celsius di Bulgaria hingga 44 darjah Celsius di Jordan. “Saya terpaksa menunggu beberapa minggu di Istanbul untuk mendapatkan kebenaran berjalan melepasi sempadan melalui Jambatan Bosphorus dan dua bulan lagi di sempadan di antara Jordan dan Arab Saudi sebelum diberi visa,” katanya. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24

PS : Tabik spring dengan lelaki bosnia ni. Aku tak terpk ada orang yang sanggup merentasi negara2 bergolak...somemore dengan berjalan kaki hanya utk pergi menunaikan ibadah haji. Dia memang dilindungi Allah sebab dia membawa niat yang sangat baik. Akhirnya dia berjaya sampai di Makkah. Alhamdulillah... 

No comments:

Post a Comment