Tuesday, September 11, 2012

4 beradik terbiar

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI SIPUT: Empat beradik ditemui hidup terbiar dan kelaparan selepas ditinggalkan ibu kandung mereka yang tidak pulang ke rumah di Taman Makmur, di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Lebih malang apabila tiga daripada empat beradik itu tidak bersekolah berikutan tidak diberikan wang saku selain dibiarkan hidup tanpa jagaan sempurna oleh bapa mereka yang ditahan polis selepas disyaki terbabit jenayah.
Nasib malang empat beradik itu mendapat perhatian Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Siput yang melawat rumah mereka pagi semalam.
Ketika lawatan mengejut dilakukan, empat beradik itu, Nor Hidayah Abdullah, tiga tahun, Nor Iman Abdullah, lapan tahun, Nor Ain Abdullah, 10, dan Norr Effa Abdullah, 14, tidak bersekolah dan sekadar berkeliaran di sekeliling rumah.
Jiran mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, rata-rata penduduk di kawasan perumahan itu simpati nasib empat beradik itu.
Menurutnya, mereka mula menyedari ibu kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah sejak lebih tiga bulan lalu, manakala bapa mereka bersikap ‘lepas tangan’.

“Penduduk bergilir-gilir memberikan makanan dan bantuan bagi memastikan empat beradik itu tidak kelaparan.
“Saya memastikan kanak-kanak itu diberikan roti atau nasi setiap hari. Saya tidak sampai hati melihat mereka kelaparan,” katanya.
Menurutnya, penduduk di kawasan itu beberapa kali membawa Nor Hidayah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sungai Siput selepas kanak-kanak malang itu diserang penyakit sawan.
“Ada penduduk memberikan wang saku kepada Norr Effa bagi memastikan kanak-kanak itu dapat ke sekolah,” katanya.
Seorang lagi jiran yang enggan namanya didedahkan mendakwa sering melihat Nor Hidayah merayau dan dihantar pulang orang ramai yang prihatin.
Sementara itu, Norr Effa yang disoal pegawai JKM gagal memberi maklumat jelas berhubung lokasi ibu dan bapanya berada.
“Ibu sudah lama tidak balik dan ayah ada di hospital kerana sakit,” katanya sambil menitis air mata.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu yang berjaya dihubungi Ganesan menggunakan telefon bimbit berjanji untuk pulang menziarahi anak-anaknya.
Bagaimanapun, pihak JKM meminta ibu kanak-kanak itu yang kini menetap di Sitiawan datang ke pejabat JKM bagi memberikan laporan sebelum tindakan susulan diambil.
Ganesan berkata, ibu kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai judi di pekan Sungai Siput sebelum berhijrah ke lokasi lain.
“Walaupun berlainan agama, rata-rata jiran berbangsa India di kawasan ini amat simpati terhadap nasib empat beradik itu. Pihak JKM mungkin akan menempatkan empat beradik itu di rumah kebajikan sekiranya penjaga atau waris mereka gagal mengambil tindakan sewajarnya.
“Agak menyedihkan apabila semua kanak-kanak itu dibiarkan bersendirian di rumah selain tidak diambil tahu ibu bapa soal kesihatan, persekolahan dan kebajikan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12

Apa punya mak bapak ler mcm ni.. Tau buat anak je...tapi tak pandai jaga. Kesian lah budak2 tu..especially yg kecik tu.. baru 3 tahun! Apa lah dia faham kan... Baik mak, atau bapak dia tu patutnya dilempang laju2...pastu hantar gi Syria ke.. Afghanistan ke... Palestin tu ke.. baru sedar dan tahu camna nak hargai kehidupan dan amanah yg Allah bagi sementara ada hayat...