Thursday, December 15, 2011

6 beradik kebuluran

JOHOR BAHRU: Enam beradik berusia antara tiga hingga 12 tahun nyaris mati kebuluran berikutan tidak diberikan makan dan minum sejak seminggu lalu oleh ibu kandung mereka yang dipercayai meninggalkan kanak-kanak itu kerana pulang ke kampung halamannya di Indonesia.
Difahamkan, ketika diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua enam beradik itu dalam keadaan tidak bermaya serta hanya menunggu ibu mereka dalam rumah di sebuah kampung di Masai, dekat sini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Khatijah Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang ramai yang mendakwa enam beradik itu ditinggalkan bersendirian dalam rumah, pegawai JKM menjalankan siasatan sebelum menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah.

Katanya, ketika meninjau keadaan enam kanak-kanak membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan, pegawai JKM mendapati mereka dalam keadaan lemah dan sayu dipercayai kerana tidak menjamah nasi berikutan terputus bekalan makanan sejak ditinggalkan ibu.

Hasil pemeriksaan, katanya, pihaknya mendapati keluarga berkenaan mula terputus bekalan makanan sejak bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit, sebulan lalu.

“Kami percaya wanita warga asing berusia 40 tahun itu buntu untuk meneruskan hidup dan tertekan dengan kesempitan hidup selepas kematian suami berusia 50-an, sebelum nekad meninggalkan semua anaknya bersendirian dalam rumah.

“Kami diberitahu wanita berkenaan berasal dari Indonesia dan mendirikan rumah tangga sejak 13 tahun lalu bersama warga tempatan dan mempunyai enam anak termasuk sepasang kembar perempuan berusia tiga tahun.

“Mungkin dia keliru dengan masa depan anak selepas kehilangan pasangan hidup dan memilih jalan mudah dengan meninggalkan semua zuriatnya,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Dialog Sukarelawan Kebajikan bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru di sini, semalam, disertai 163 sukarelawan

Khatijah berkata, enam beradik itu diselamatkan pihaknya dan kini ditempatkan di pusat perlindungan jabatan hingga mendapat perintah mahkamah.

Menurutnya, sehingga kini, tiada waris kanak-kanak terbabit yang berstatus warganegara tampil bagi membincangkan masa depan mereka.

“Perbuatan ibu kandung kanak-kanak yang menghilangkan diri boleh memberi kesan mendalam terhadap anak-anaknya kerana mereka kehilangan kasih sayang dan perlindungan.

“Oleh itu, kami memberi kaunseling dan cuba mengisi kesunyian semua kanak-kanak itu,” katanya yang meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang kes pengabaian kanak-kanak di talian 07-2232606.

Source : MyMetro on9
Date : 16/12/2011

Comment : Kesian lah anak2 dia yg tak berdosa. Try to imagine anak2 dia tak makan dan minum... terutama yg paling kecik.. 3 tahun tu.. Anak aku kalo dah makan, tp tingin mkn biskut pulak, tu pun aku tak sampai ati tgk dia nangis atau merengek.. ni kan budak2 yg tak makan slama sminggu..
Zalim betul kelakuan mak dorang nih....

No comments:

Post a Comment